It’s Official: The 2019 Standard Deduction Is Getting Even Large
Info

Bagaimana Untuk Mencipta Zombie? – The Patriots

Asal cerita zombie je mesti virus. Memang dah takde idea lain ke nak buat vektor penyakit zombie selain virus? Nah, untuk sesiapa yang nak buat cerita zombie, ni aku buat artikel macam mana nak buat zombie berdasarkan bakteria, virus dan prion. Memandangkan dunia sedang dilanda wabak koronavirus, artikel ini ditulis untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang vektor vektor penyakit. Gambar yang tertera adalah hak milik siri The Walking D3ad.

OK, zombie ni selalunya merujuk kepada hidupan m4ti yang dihidupkan. Tapi, apa yang buat dia jadi zombie? Vektor apa yang buat dia jadi macam tu? Memandangkan dia ada kesan pada psikomotor hidupan, jadi ia libatkan otak.

Sebenarnya aku tak perlu cari jauh jauh pun. Kita memang dah ada contoh sebenar – kulat cordyceps dan parasit T. gondii. Mereka ni yang contoh terdekat zombie dunia realiti. Cumanya, hos tak m4ti jadi zombie. M4ti otak atau hilang kawalan je.

Kemudian, macam mana dia sebarkan penyakit tu zombie pada orang lain? Dia gigit ke? Ke sebab makan bahan tercemar?

Aku kalau nak propa dahsyat, baik buat penyakit tu berjangkit sebab zombie tu muntah/cirit terus ke muka. Dia macam kamehameha tapi muntah/cirit. Geli pulak aku bayang.

Kemudian, apa mekanisme dia yang buat dia jadi macam zombie? Dia agresif dan kuat makan otak jugak ke? Dia lari pecut macam World War Z jugak ke? Dia ada zombie khas macam Left 4 D3ad ke? Kalau ada, maknanya sistem badan dia pun berubah sebab penyakit tu.

Dan, aku rasa soalan paling penting ialah dia jadi zombie waktu dia hidup ke waktu dia m4ti? Kebanyakan filem aku tengok tak sentuh pun bab ni. Kalau dia asalnya m4ti, tak reput ke zombie tu hidup lama-lama? Tak ke rasa zombie outbreak tu sekejap je sebab semua hancur reput?

Dalam aku korek satu per satu persoalan tentang zombie, aku baru perasan yang objektifnya satu je, tak kisah vektor apa.

Semua nak cari hos untuk membiak. Itu sahaja.

Oleh itu, benda yang perlu kita sentuh untuk hasilkan zombie seperti filem ialah vektor yang sesuai, cara transmisi dan mekanisme zombifikasi.

BAKTERIA

Sekarang, kita mulakan dengan vektor yang paling melata di bumi. Bakteria. Jadi, jenis zombie apa yang kita akan dapat daripada bakteria?

Dalam kehidupan sebenar, bakteria ni tak banyak yang cetuskan penyakit otak dalam haiwan dan manusia. Tapi, dalam keluarga pokok, mereka boleh cetuskan penyakit zombie.

Bakteria seperti phytoplasma akan hasilkan protein yang boleh ubah struktur hos mereka. Sebagai contoh, pokok yang kena zombified ni bunga dia akan jadi pucuk. Tak boleh membiak. Serangga akan hisap cecair pokok ni sekali dengan bakteria dan jangkitkan pokok lain.

Phytoplasma ni buat pokok tu hidup untuk bakteria tu sahaja. Dia jadi separa m4ti. Phytoplasma tak bagi kesan pada manusia, tapi kalau ada, aku rasa paling-paling pun bagi korang mandul je la.

Walau bagaimanapun, mekanisme protien-tukar-hos tu aku rasa penting. Sebab dia boleh ganggu seluruh sistem. Juga, benda lagi best pasal bakteria ni ialah mereka boleh jadi simbiot komensalis.

Dalam bahasa Jawanya, mereka ni tak semestinya merosakkan hos. Mereka pun boleh bagi kebaikan pada hos. Contohnya, bakteria usus kita tolong kita hadam makanan. Dalam pokok sendiri ada yang serap terus bakteria dalam sistem dia untuk buat nitrogen.

Gambar 1: Poket bakteria yang terkandung dalam akar pokok kekacang sebagai interaksi simbiot komensalis.

Jadi, bakteria mungkin boleh hasilkan pseudo zombie macam Venom atau Migi (Parasyte). Tapi itu pun, ia cuma pada tempat spesifik sahaja macam kalau penghadaman, dekat usus sahaja. Kalau nak kuat, pada sel otot. Dia tak boleh cover semua sebab tak kawal otak.

Nak kawal otak tu boleh je, tapi korang kena jangkitkan vektornya dekat dengan otak lah. Dia cuma boleh tinggal pada satu tempat spesifik sahaja macam usus, paru etc. Kalau dah macam tu, tak ke rasa macam payah gila nak jangkitkan penyakit zombie ni?

Ok, mungkin zombie bakteria ni dapat jangkitkan manusia lepas dia baham kepala orang lain, tapi kena tengok jugak bahagian otak mana dia makan. Kalau dia makan bahagian motor, memang berguling dan merangkak je la zombie baru tu. Psikomotor kena kacau.

Bila aku fikir balik, aku rasa boleh je ada zombie-bakteria sebenar, tapi kemungkinan besar dia ni jenis makan bahagian spesifik untuk dapat nutrient tertentu. Contoh macam zombie makan usus sebab nutrient spesifik dekat situ.

Tak pun jadi macam ‘boomer’ atau bloat Killing Floor. Bakteria situ jadikan dinding epitelial usus jadi anjal, reputkan tahi jadi penuh dengan metana, penuhkan kulit dengan nanah melalui poket luka dan bila sampai masa dia akan meletup ibarat bom jangka. Daripada situ, mungkin manusia boleh dijangkiti dan menjadi zombie ataupun bau yang melekat tu menjadi marker untuk kelompok zombie menyerang.

Lagi satu, mereka ni jenis hidupan koloni. Hidup seragam. Apa apa kelebihan yang satu bacterium tu ada, dia akan kongsi dengan bakteria lain. Jenis fikir member.

Gambar 2: Proses perkongsian DNA kalis antibiotik oleh bakteria kepada bakteria lain.

Sebab tu kalau ada koloni yang lemah dengan antibiotik, lepas tu kita masukkan satu sel bacterium tahan antibiotik ke dalam koloni tu, satu koloni tu akan jadi kebal antibiotik, walaupun sel tu bakteria spesis lain. Bakteria mampu berkongi bahan DNA mereka sesama sendiri, tak kisah semasa ia masih hidup ataupun dah m4ti.

Dalam kes bakteria-zombie, apa-apa mutasi dan kelebihan mereka akan kongsi dengan pantas. Kita taknak bakteria yang dah imun dengan ubat tu pergi kongsi DNA kelebihan tu dengan bakteria lain. Habis semua jadi imun.

Cuma masalahnya, bakteria ni vektor paling lemah. Aku tak terkejut kalau korang tepek roti berkulat dekat zombie tu nanti penyakit zombienya hilang. Itu la kelemahan dia. Antibiotik. Kulat roti tu sumber penicillin, sejenis antibiotik. Aku tak adalah nak kata bakteria senang sangat nak rawat, sistem evolusi ketahanan antibiotik dia tu pun buat sakit kepala juga. Tapi kalau nak banding virus dan prion, ya, senang lagi bakteria ni.

Jadi, kalau vektor ni ada kad laporan, ini yang aku boleh bagi:

Tahap jangkitan: Tinggi

Cara sebaran: Gigitan dan lendir.

Mekanisme: Gangguan otak dan penumpuan koloni bakteria pada tempat spesifik.

Penawar: Antibiotik.

Rating: 6/10. Vektor yang nampak macam bahaya tapi senang dirawat.

Faktor kegerunan: Pertengahan. Zombie bakteria ini menggerunkan, tapi disebabkan ia senang dirawat, faktor kegerunan menjadi sedikit rendah.

VIRUS

Sekarang, kita masuk pasal virus. Ah, vektor cliche. Kalau zombie je mesti virus. Gila tak kreatif.

Tapi dalam tak kreatif tu pun sebenarnya ada benarnya zombie tu boleh berpunca dari virus.

Berbanding bakteria yang merupakan hidupan, virus ni nak kata hidup pun tak, tak hidup pun tak.

Disebabkan sifat dia yang ni lah, kita tak boleh nak hapuskan virus dengan sepenuhnya. Bakteria tu kalau terdedah pada keadaan ekstrem dia boleh m4ti, tapi bukan virus (tak termasuk api dan objek yang sangat panas). Ingat, mereka ni bukan benda hidup yang perlu bernafas, makan semua tu, sebab itu tak boleh m4ti, sebab memang tak hidup pun. Yang seronok pasal virus ialah, mereka banyak cetuskan penyakit berkaitan otak. Meningitis boleh, rabies boleh, encephalitis pun boleh.

Gambar 3: Hospital yang dihuni pesakit sewaktu wabak Selsema Sepanyol.

Bercakap tentang encephalitis, kita ada kes dulu sewaktu wabak Selsema Sepanyol. Sekitar 50-100 juta manusia telah meninggal disebabkan wabak ini. Pandemik paling teruk di dunia. Ia berpunca daripada virus H1N1, strain virus influenza Selsema Babi. Cara penyebarannya ialah melalui udara seperti bersin dan batuk. Titisan air liur dan selsema pesakit yang terampai di udara kemudiannya menjangkiti mangsa mangsa baru. Ditambah lagi dengan daya tahan virus yang bagus, kaedah transmisi virus ini sangat bagus dan tahan lama. Ini membuatkan aku terfikir, macam mana kalau manusia boleh terjangkit menjadi zombie hanya dengan bersin sahaja? Tapi, disebabkan virus H1N1 ni hanya memberi kesan pada sistem pendarahan, dia tak serang otak, maka ia bukanlah vektor yang bagus.

Walau bagaimanapun, itu tak bermakna ia tak merbahaya. Kaedah transmisinya sangat bagus. Gigitan pun boleh (rabies). Bersin pun boleh. Kalau betul ada Selesema Zombie, cukup 3 tahun manusia pupus. Ya lah, semua dah kena jangkit dan tiada mangsa untuk dimakan. Memang terbiar mereput sampai hancur je la zombie zombie semua ni.

Tapi, sifat paling bahaya pasal virus ialah kadar mutasi. Mereka cepat berevolusi. Strain dia boleh jadi makin berbahaya selagi masa masih bergerak. Elok kita ada zombie lari sprint, tiba-tiba setahun kemudian ada zombie berkepak. Macam mana boleh jadi camtu?

Bila virus tu kawal otak, dia boleh tukar protein otak sama macam bakteria buat pada tisu jangkitan. Mula mula kita rasa lapar, lepas tu jadi agresif, gigit orang semua tu. Mungkin selepas tu mutasi virus boleh suruh otak masukkan hormon tumbesaran dan adrenalin ke dalam sistem.

Hormon ni akan jadikan zombie tu makin lasak dan ganas. Jadi, bayangkan zombie World War Z tu, tapi versi boleh berlari 10 km dengan kelajuan maksima dan tetap. Zombie berkepak tu aku rasa agak mustahil sebab terlalu kompleks. Nak buat benda berterbangan ni kita kena ada tulang ringan dan otot yang kuat. Benda ni terlalu spesifik buat virus. Jadi, mungkin kita akan ada zombie khas yang boleh bergerak dengan lebih fleksibel. Mungkin jangkitan virus pada otak boleh merangsang hormon tumbesaran dan adrenalin dihasilkan pada kadar yang drastik dan tinggi. Jadilah zombie yang pantas macam World War Z dan Left 4 D3ad, tapi daya tahan macam zombie Resident Evil 2. Dia punya keras tu macam tembak kusyen. Tak lut.

Tapi, itulah. Virus ni korang letaklah macam mana pun simptomnya, kalau tak stabil pun tak guna juga. Tak sempat lagi dia nak jadi zombie tiba tiba dia m4ti dulu. Macam aku cakap, dia ni cepat berevolusi, tapi itu la, cepat sangat. Simptom zombie dia jadi tak menentu, dan sebab banyak sangat gangguan sistem badan akhirnya badan m4ti dulu sebelum otak dia sempat jadi zombie.

Tahap jangkitan: Sangat tinggi

Cara sebaran: Gigitan, lendir dan virus terampai.

Mekanisme: Gangguan otak dan sistem evolusi virus melahirkan mampu lahirkan zombie unik.

Penawar: Vaksin.

Rating: 8/10. Vektor yang berbahaya dan tak terjangka dek mutasi spontan. Walaubagaimanapun, mutasi spontan tersebut juga boleh menyebabkan kegagalan proses zombifikasi kerana ia bersifat sangat rawak. Sistem badan pesakit menjadi terlampau rosak dan zombifikasi gagal.

Faktor kegerunan: Tinggi. Zombie virus boleh cipta zombie ganas, buas dan unik.

PRION

Dalam banyak banyak vektor, aku rasa prion lah vektor yang paling underrated. Padahal dia ni lah apa yang aku rasa vektor zombie yang paling bagus sekali.

Aku tak main main pasal benda ni. Penyakit yang dibuat oleh prion semuanya terletak di otak. Disebabkan tak ramai yang tahu tentang prion ni, aku ceritalah serba sedikit tentangnya. Prion ni nama singkatan kepada ‘proteinaceous infectious particle’. Berbanding bakteria, kulat dan virus, prion ni memang benda yang tak hidup langsung. Dia cuma sejenis protein yang tersalah lipatan.

Setiap protein dalam badan kita, sebagai contoh enzim ni ada lipatan tersendiri. Dia kalau tersalah lipatan bahan berprotein ni tak akan berfungsi dengan bagus. Prion ni pula dia bukan setakat tersalah lipat, dia juga akan mempengaruhi protein lain untuk tersalah lipat juga.

Jadi, bayangkan dia buat protein dalam otak tersalah lipat, tak ke rosak otak tu? Sebab itu bila ada orang yang terkena penyakit prion ni (terutamanya jenis TSEs), otak dia ada lubang lubang macam span. Seolah olah otak dia mereput hidup hidup.

Apa yang buat dia lagi berbahaya berbanding vektor lain ialah, prion tiada penawar dengan kadar kem4tian 100%. Bakteria ada antibiotik, virus ada vaksin, prion? Tiada. Sebagaimana virus, prion ni pun agak kebal daripada degradasi. Kalau nak hapuskan prion, memang kena bakar atau rosakkan terus protein dia. Malah, sistem imun kita pun takkan cam prion sebagai kuman. Memang sel darah putih dan limfosit buat bodoh je kalau nampak prion.

Sebab itu mayat dan bangkai mangsa prion ni selalunya akan dibakar terus jadi abu. Kalau kita biar dia mereput dalam tanah, prion tu boleh kekal dalam tanah, dimakan oleh lembu atau kambing, dan kemudiannya dimakan oleh kita.

Dalam penyakit prion lain, seperti ‘Chronic Wasting Dise4se’ (CWD), prion ni boleh tersebar melalui air liur dan najis pesakit (rusa, lembu etc) di alam sekeliling. Setakat ini, prion penyakit CWD tak boleh jangkitkan manusia, tapi siapa tahu mungkin suatu hari nanti ia boleh?

Gambar 4: Rusa yang dijangkiti CWD. Perhatikan rupa jasadnya yang sangat kurus dan tak bermaya.

Cumanya, kita bernasib baik prion ni tak gila macam virus, bakteria dan kuman. Cuba teka macam mana nak dapat penyakit prion? Dengan memakan otak atau saraf. Hal ini disebabkan protein prion ni hanya ada pada organ organ tersebut. Sebagai contoh, penyakit Lembu Gila ni dulu terjadi sebab lembu ternakan makan daging kisar (yang mempunyai otak lembu). Bagi kes manusia, kita ada penyakit Kuru yang berpunca daripada aktiviti kanibalisme oleh puak Fore di Papua New Guinea.

Apabila ahli puak Fore meninggal, ahli keluarga mereka akan memakan mayatnya dengan bahagian otak dikhaskan kepada wanita dan kanak kanak. Maknanya, filem cliché zombie makan otak tu berdasarkan fakta jugalah. Selain makan otak, penyakit prion juga boleh terjadi dengan semula jadi walaupun sangat jarang. Ada saintis yang berpendapat bahawa penyakit prion seperti Creutzfeldt-Jakob ni terjadi dengan semula jadi, dan kemudiannya tersebar apabila otaknya dimakan.

Dari segi simptom, penyakit prion banyak menyentuh kegagalan kawalan otak. Pesakit boleh mengalami psikosis, masalah motor, masalah otak – memang masalah otak lah kebanyakannya. Perkara ini buat aku terfikir tentang satu benda yang sangat menakutkan.

Penyakit prion mempunyai potensi untuk hasilkan bukan zombie, tapi pseudo zombie. Setakat ini kita tak mempunyai penyakit prion yang buat manusia jadi zombie makan otak tu, tapi bayangkan kalau ada prion yang buat otak kita tak selera dengan makanan lain selain daging/otak manusia. Kemudian, kita campur dengan masalah paranoia yang berpunca daripada penyakit prion.

Kita akan dapat pseudo zombie a.k.a kanibal jadian. Antara zombie yang boleh lari laju, kulit keras etc, aku lagi seram dengan pseudo zombie ni. Sebabnya, ada kebarangkalian pesakit ini masih sedar dan waras, tapi tak boleh buat apa apa sebab otak dia paksanya menjadi zombie. Zombie yang berakal adalah 10 kali ganda lebih menakutkan dengan zombie khas.

Kita sedang bercakap tentang zombie yang boleh berstrategi, bukan zombie yang hanya ikut hawa nafsu buru manusia membabi buta. Aku terbayang zombie prion yang makan ahli keluarganya dalam keadaan menangis, sebab dia sedar tu keluarga dia, tapi tak boleh buat apa apa sebab otak kena kawal prion.

Gambar 5: Gambaran aktiviti kanibalisme oleh orang Eropah terhadap bangsa gasar seperti Mongol dan Tartar.

Tahap jangkitan: Rendah

Cara sebaran: Bahan tercemar dan pemakanan otak.

Mekanisme: Gangguan otak dan paranoia.

Penawar: Tiada.

Rating: 9/10. Vektor yang paling tinggi potensi untuk cipta zombie tapi terhalang dengan tahap jangkitan yang rendah.

Faktor kegerunan: Sangat tinggi. Zombie prion berpotensi melahirkan zombie yang berakal.

KONKLUSI

Jadi, berdasarkan penulisan aku ni, aku berpendapat prion mempunyai potensi tertinggi untuk mencipta penyakit zombie, sekalipun zombie yang dilahirkan adalah lemah. Oleh itu, aku merasakan untuk mencipta zombie berbahaya, kita perlukan vektor jenis senjata bio. Vektor yang kita cipta sendiri. Mungkin asasnya boleh kekal dengan prion, tapi mekanismenya bertindak seperti HIV. Kita cipta prion senjata bio yang mampu mengubah tahap agresif otak menjadi tinggi.

Untuk meningkatkan tahap jangkitan, prion tu boleh disebarkan melalui mulut mahupun poket nanah seperti boomer. Untuk hasilkan zombie khas, kita perlukan prion yang berlainan untuk hasilkan zombie berlainan. Tapi, benda ni agak tak efisien bagi aku. Kalau boleh, aku nak zombie khas tu boleh dicipta melalui sumber yang sama. Jadi, aku berpendapat zombie tu perlu mempunyai sistem seperti anai anai dan semut. Seorang patient zero zombie bertindak sebagai hive mind ataupun permaisuri yang melahirkan zombie zombie lain.

Perkara ini sesuai dengan prion yang boleh wujudkan zombie berakal. Hive mind/permaisuri zombie itu pula boleh lahirkan zombie yang diubah genetiknya menjadi zombie biasa dan khas.
Disklaimer: Sekalipun artikel ini ditulis dengan santai dan suka suka, penulis sekali kali tak menggalakkan sesiapa yang bijak dan gila untuk mencipta senjata bio ini.

RUJUKAN:         

Barry, John M. (2004). The Great Influenza: The Epic Story of the Greatest Plagu3 in History. Viking Penguin. ISBN 978-0-670-89473-4.

Bichell, Rae Ellen (September 6, 2016). “When People Ate People, A Strange Dise4se Emerged”. NPR.org. Retrieved 2018-04-08.

Colle, JG; Bradley, R; Libersky, PP (2006). “Variant CJD (vCJD) and bovine spongiform encephalopathy (BSE): 10 and 20 years on: part 2”. Folia Neuropatholica. 44 (2): 102–110. PMID 16823692.

Collinge, John; Whitfield, Jerome; McKintosh, Edward; Beck, John; Mead, Simon; Thomas, Dafydd; Alpers, Michael (2006-06-24). “Kuru in the 21st century—an acquired human prion dise4se with very long incubation periods”. The Lancet. 367 (9528): 2068–2074. doi:10.1016/S0140-6736(06)68930-7. PMID 16798390.

Hemachudha T, Ugolini G, Wacharapluesadee S, Sungkarat W, Shuangshoti S, Laothamatas J (May 2013). “Human rabies: neuropathogenesis, diagnosis, and management”. The Lancet. Neurology. 12 (5): 498–513. doi:10.1016/s1474-4422(13)70038-3. PMID 23602163.

Schlozman, S. C. (2011). The zombie autopsies: secret notebooks from the apocalypse. Grand Central Publishing.

Schlozman, S. (2015). Neurobiology of a Zombie. … But If a Zombie Apocalypse Did Occur: Essays on Medical, Military, Governmental, Ethical, Economic and Other Implications, 75.

Than, K. (2010). Zombie virus” possible via rabies-flu hybrid. National Geographic News.

Related posts
Info

Turki Keluar Dari Kemelesetan Ekonomi Selepas PRU

Info

Kenapa Orang Putih Cuci Pinggan Dalam Dishwasher?

Info

Kedudukan Wanita Di Tanah Arab Ketika Zaman Jahiliyyah

Info

Starbucks Malaysia Tawar Promosi RM2.90 Untuk Minuman Kedua Esok

Sign up for our Newsletter and
stay informed

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *